Tugas Sebagai Majikan Pembantu Rumah
Jika anda mengambil pembantu rumah untuk menjaga bayi anda, anda telah berikan dia tanggungjawab yang besar. Anda perlukan hubungan yang baik dengan pembantu umah anda. Tidak kira dia berasal dari mana, sama ada warganegara asing atau tempatan, mereka berhak merasa bahagia, dihargai dan diberi perhatian. Jika anda mahukan pembantu rumah anda menjaga bayi anda dengan baik, anda haruslah memberi perhatian sewajarnya kepada pembantu rumah anda.
Cadangan dan contoh dibawah adalah cara untuk mengekalkan hubungan yang baik bersama pembantu rumah anda. Setiap keluarga adalah berbeza dan hanya anda mengetahui apa yang terbaik untuk keluarga dan gaya hidup anda. Walaubagaimanapun, jika anda mahukan hubungan yang baik dengan pembantu rumah anda, maka anda perlulah membuat permulaan yang baik dari sekarang.
Bagaimanakah saya hendak membina hubungan yang baik dengan pembantu saya?
Sebaik sahaja pembantu rumah baru anda tiba di rumah anda, anda perlu cuba untuk membina hubungan yang baik dengan pembantu rumah anda. Ianya baik untuk bayi anda mendapatkan penjagaan dari pembantu yang sama dalam jangka masa yang panjang. Ia juga mengurangkan kos anda, kerana pembantu rumah boleh bekerja selagi anda memperbaharui permitnya setiap tahun. Memperbaharui permit pembantu rumah anda setiap tahun akan mengurangkan kos anda berbanding mengupah pembantu rumah baharu dan membayar levi dan bayaran lain.
Pembantu rumah anda tinggal di rumah anda, tetapi dia masih seorang pekerja. Dalam beberapa bulan pertama, anda mungkin inginkan keadaan yang formal: dia adalah pekerja dan anda adalah majikan. Akan datang dia mungkin menjadi orang penting dalam rumah anda, tetapi mungkin mengambil masa beberapa bulan atau bertahun-tahun.
Dalam pada masa yang sama, cuba fikirkan kerja dan majikan anda sendiri. Terma dan syarat sesebuah tempat kerja menjadikannya tempat yang disukai atau tidak, faktor yang membuatkan anda bermotivasi dan perkara-perkara yang membuatkan tempat kerja menjadi tempat yang seronok. Anda boleh menerapkan elemen-elemen ini dalam rumah untuk pembantu anda.
Bagaimanakah saya boleh menjadi majikan yang lebih baik?
Terdapat banyak cara dan kaedah untuk anda berikan kepada pembantu dari aspek keadaan di tempat kerja yang selesa untuk membantunya memberikan yang terbaik untuk bayi anda.
Terma dan syarat pekerjaan yang munasabah– Undang-undang buruh di Malaysia khususnya tidak termasuk pembantu rumah. Walaubagaimanapun, hal ini tidak menjadi halangan untuk anda meletakkan syarat dengan bertujuan menjadikan pembantu anda menjadi lebih sihat dan cergas serta bertenaga dalam memberikan penjagaan terbaik untuk bayi anda.
- Apakah waktu bekerjanya?
- Adakah pembantu dapat tidur dan rehat yang mencukupi selama 8 jam sehari semalam?
- Adakah pembantu mempunyai masa untuk memasak masakannya dan masakan yang disukainya?
- Adakah pembantu mempunyai masa lapang sendiri?
Tempat tinggal yang selayaknya– Umumnya, kebanyakan majikan memberikan pembantu ruang bilik yang lengkap dengan bantal dan tilam, almari atau laci, kipas. Radio atau tv merupakan tambahan. Pembantu rumah perlulah mempunyai bilik mandi sendiri kerana perlu mencuci baju. Sesetengah pembantu mempunyai telefon bimbit (anda boleh nyatakan tentang telefon untuk hal peribadi hanya dibenarkan selepas habis waktu kerja) jika tidak anda perlu memberikan kebenaran kepada pembantu untuk menelefon rumah secara berkala.
Insentif untuk sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan baik– Semua orang menyukai insentif; cuba letakkan diri anda yang akan mendapatkan bonus tersebut. Hal ini sama juga dengan pembantu anda. Anda boleh memberitahu pembantu anda bahawa sekiranya dia dapat menjalankan tugasnya dengan baik, dia akan mendapat cuti yang lebih, sedikit duit bonus atau sebuah televisyen atau radio di dalam biliknya.
Penerangan tugas yang jelas– Adakah pembantu rumah anda diambil bekerja semata-mata untuk menjaga anak anda? Atau adakah dia seperti kebanyakan pembantu rumah yang lain? juga akan dijangka menyapu dan mengemop lantai, membasuh pinggan mangkuk, mengemas katil, menyeterika dan secara amnya memastikan rumah itu kemas? Sesetengah majikan juga mahukan pembantu rumah mereka boleh membawa haiwan peliharaan mereka jalan-jalan, mandikan haiwan peliharaan , menguruskan taman dan basuh serta vakum kereta mereka.
Anda mesti jelas dengan jangkaan anda. Akan tetapi perlulah diingatkan bahawa sekiranya pembantu mempunyai banyak kerja yang perlu dibuat, dia mungkin tidak mampu memberikan kualiti penjagaan yang anda mahukan untuk bayi anda.
Jadual Bertugas atau Jadual Waktu–Setelah bayi anda menyesuaikan diri dengan pembantu, maka anda boleh mempertimbangkan untuk membuat jadual bertugas, terutamanya jika anda mempunyai anak yang sudah besar. Mereka mungkin mempunyai kurikulum tambahan dan aktiviti lepas sekolah. Dengan cara ini, semua orang di dalam rumah tahu apa yang diharapkan setiap hari, dan pembantu rumah anda tahu dengan tepat apa yang dia perlu selesaikan.
Saling Menghormati– Jika anda mengambil pembantu rumah warga asing, mungkin terdapat perbezaan budaya dan agama. Cuba sebaik mungkin untuk sesuaikan diri dengan mereka. Jika anda tidak dapat mengendalikannya, beritahu kepada agensi kami.
Latihan Kerja– Anda mendapatkan pembantu rumah melalui agensi pekerjaan yang sepatutnya bertanggungjawab memberikan latihan kepada pembantu . Walaubagaimanapun, persekitaran di rumah dan budaya di rumah anda adalah baru bagi mereka. Contohnya, jika anda mahu pembantu mengemop lantai. Cuba anda tunjukkan cara mengemop yang anda mahukan berbanding dengan mengarahkan pembantu anda semata-mata. Tunjukkan cara mencuci pam susu, bagaimana menggunakan pensterilan, di mana untuk menyimpannya. Pembantu rumah mungkin tidak kenal alat tersebut. Anda juga mungkin perlu jelaskan tentang kebersihan makanan.
Bagaimanakah saya boleh membantu pembantu rumah untuk menjadi pekerja yang baik?
Kebanyakan keluarga mencari pembantu rumah wanita yang berpengalaman bekerja samaada di Malaysia atau negara lain untuk menjaga bayi mereka. Kebanyakan majikan juga cenderung memilih pembantu wanita yang mempunyai anak sendiri. Samaada pembantu rumah anda mempunyai pengalaman sendiri atau secara professional, anda perlulah memberikan perhatian terhadap beberapa perkara iaitu:
Pantau dengan teliti untuk beberapa minggu pertama– Luangkan sedikit masa bekerja bersama-sama pembantu anda, supaya pembantu rumah anda boleh mempelajari rutin dan keutamaan daripada anda, dan anda boleh melihat bagaimana dia berhubung dengan bayi anda.
Meningkatkan kemahiran pembantu– Lebih banyak ilmu yang pembantu rumah anda tahu, lebih baik penjagaan yang dia boleh berikan. Pertimbangkan untuk mendaftarkannya untuk kursus pertolongan cemas, bawa dia bersama anda ke kelas penyusuan, atau jika anda mendapati kemahiran memasaknya tidak mecapai jangkaan anda, mengapa tidak menghantarnya untuk beberapa pekaharan? Langkah ini akan membuat dia berasa dihormati profesional. Akhirnya, itulah yang anda harapkan terhadap mana-mana penjaga.
Berkomunikasi- Minta dia mengulangi arahan anda untuk memastikan dia memahaminya. Hal ini penting jika ada perbezaan bahasa. Sediakan kamus bahasa untuk pembantu anda dan semak kamus tersebut bersama-sama pembantu anda.
Dalam keluarga besar anda, harus jelas siapa yang boleh berikan arahan kepada pembantu anda, supaya dia tidak tertekan dengan permintaan daripada ramai orang. Ini juga akan membantu pembantu rumah anda mengutamakan tugas dan tanggungjawabnya.