Memahami cara -cara menjalinkan hubungan yang baik dengan pembantu anda
Bagaimana memastikan pembantu anda bekerja dengan baik di rumah tanpa berbuat tidak baik dengan pembantu anda.
Masalah Pembantu Rumah#1 – Dia mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dan tidak dapat bergaul dengan beberapa ahli keluarga.
Pembantu anda mungkin ada masalah menyesuaikan diri dengan budaya baru. Jadi pastikan keperluan pembantu dipenuhi – Sediakan bilik yang bersih dan selesa, makanan yang cukup kerana mungkin dia tidak biasa dengan jenis makanan yang anda dan keluarga anda makan.
Dia juga mungkin rindu dengan orang yang tersayang di kampung halaman. Jadi jika anda rasa dia terganggu, cuba berbual dengannya – yakinkan dia bahawa anda mengambil berat tentangnya dan dia sebahagian daripada keluarga anda. Ingatkan pembantu rumah anda bahawa pengorbanannya berbaloi dan benarkan dia berhubung dengan keluarga terdekatnya sekerap yang mungkin supaya dia berasa dekat dengan ahli keluarganya.
Mungkin sukar untuk menjalinkan hubungan yang baik di antara pembantu dengan ahli keluarga yang lain. Dengan perbezaan personaliti dan harapan dari setiap ahli keluarga, tidak hairanlah wujudnya suasana ketegangan. Dapatkan pendapat pembantu anda tentang situasi itu, kemudian cadangkan cara untuk menanganinya, sama ada dengan meminta dia mengubah sikapnya atau memahami orang lain dalam keluarga.
Kemudian, cuba berbincang dengan ahli keluarga yang tidak serasi dengan pembantu rumah. Tekankan kepentingan hidup dalam suasana yang harmoni dan berkompromi kerana semua tinggal di bawah bumbung yang sama.
Masalah Pembantu Rumah#2 – Pembantu rumah menggunakan masa yang banyak dalam mengendalikan kerja rumah dan tidak bekerja dengan efektif.
Hal ini mungkin terjadi kerana jangkaan dan harapan yang berbeza. Pembantu rumah mungkin berfikir bahawa dia sudah melakukan yang terbaik namun anda berfikir sebaliknya kerana anda boleh melakukan kerja rumah dengan lebih cepat atau pembantu rumah terdahulu lebih produktif berbanding pembantu rumah sekarang.
Anda tidak patut membandingkan pembantu baru dengan pembantu rumah lama – Hal ini hanya akan membangkitkan kemarahan dan menyebabkan dia berasa diri tidak layak untuk pekerjaan ini. Sebaliknya, lakukan rutin hariannya bersamanya dan ketahui cara dia melakukan kerja-kerjanya. Beritahu dia bagaimana dia boleh melakukan sesuatu dengan lebih cekap.
Jangan beri kerja lebih dari kemampuan pembantu rumah anda. Mulakan dengan beberapa tugas yang mudah dan kemudian diikuti dengan beberapa tugas yang susah hanya apabila anda yakin bahawa dia boleh uruskan tugasan itu. Ini akan meningkatkan keyakinan diri pembantu rumah, dan turut meningkatkan prestasi kerjanya. Jangan lupa untuk memujinya apabila dia melakukan sesuatu dengan baik. Hal ini dapat meningkatkan keyakinan dan prestasi kerjanya.
Masalah Pembantu Rumah #3 – Pembantu rumah anda perlu menjaga anak dan orang tua selain membuat kerja rumah yang lain. dia mungkin akan melepaskan geram ke atas anak dan orang tua anda atau dia tidak mengutamakan tugas utamanya itu.
Jika dia ada kekurangan dalam menjaga anak kecil atau membantu ibu bapa di rumah, cuba fahami bahawa tingkah lakunya itu mungkin disebabkan kekecewaan yang dia rasa tentang rutin hariannya kemungkinan dia berasa tertekan. Cuba bercakap dengannya dan aturkan kerja supaya menjadi lebih mudah untuk diuruskan.
Jika dia melepaskan emosinya kepada keluarga secara verbal atau fizikal, maklumkan kepada agensi untuk membantu menyelesaikan isu ini. Penderaan dalam apa jua bentuk tidak boleh dibiarkan. Jika masalah itu tidak dapat diselesaikan dan dia kembali kepada cara lamanya, pertimbangkan untuk mendapatkan pembantu baharu.
Masalah Pembantu Rumah #4 – Dia tidak mengikut beberapa arahan – dia biasanya hanya melakukan 80 peratus daripada apa yang anda suruh.
Anda harus jelas dengan arahan yang diberikan dan pastikan mereka faham apa yang anda harapkan. Sebagai contoh, memberitahunya untuk “membersihkan bilik” adalah tidak jelas. Bagaimana anda mahu dia membersihkan bilik? Bahagian mana yang anda mahu dibersihkan? Anda boleh bahagikan tugas kerjanya supaya menjadi lebih mudah dan senang diuruskan. Anda juga boleh menyuruhnya mencatat arahan yang diberikan supaya dia tidak lupa akan tugasnya itu. Apabila kerjanya selesai, berikannya maklum balas yang positif dan membina supaya supaya dia melakukan kerja yang lebih baik pada masa akan datang.
Masalah Pembantu Rumah #5 – Pembantu rumah anda mempunyai kebiasaan yang menganggu anda dan ahli keluarga yang lain. Contohnya, dia seorang yang pengotor, suka menyumpah atau tidak beradab di meja makan.
Jika salah satu anggota keluarga anda melakukan hal yang sama, anda beritahu mereka anda tidak boleh bertoleransi dengan perkara sedemikian. Semoga pembantu rumah anda faham yang dia pun perlu perbaiki kesalahan yang sama.
Jika anda hendak menegur secara terus, bercakap dengan dia secara sendirian. Beritahu dia apa yang anda perhatikan selama ini – bahawa dia mengunyah sambil membuka mulut atau pengotor – dan beritahu pembantu rumah dengan sopan untuk berubah. Contohnya, mengatakan “Saya nak awak pastikan yang awak mandi paling kurang sekali sehari dan juga mandi selepas buat kerja di luar rumah”. Jaga ton suara anda dan elakkan kenyataan menuduh seperti “awak busuk” atau “awak kurang ajar”.
Masalah Pembantu Rumah #6 – Pembantu rumah anda berusaha untuk bergaul dengan anda dan tetamu anda. Dia kelihatan seperti ingin ambil tahu tentang apa yang berlaku di dalam rumah.
Semua bergantung kepada anda bagaimana anda mahu meletakkan jurang antara pembantu rumah dengan keluarga anda. Jika pembantu rumah menganggap dirinya sebahagian dari ahli keluarga, dia akan berminat untuk mengetahui apa yang terjadi di rumah. Jadi, anda boleh beritahu dia dengan jelas bahawa dia perlulah hormati hal-hal peribadi keluarga.
Tetapi sebelum bercakap dengannya, pastikan anda tidak melibatkannya dalam masalah peribadi anda – iaitu berkongsi maklumat peribadi dengannya atau meminta bantuannya dalam perkara ini. Jika ada, anda bertanggungjawab dengan tindakannya itu.
Cuba jelaskan kepadanya tentang konsep dan kepentingan meletakkan jurang dalam hubungan dengan pembantu rumah. Contohnya, “saya gembira melihat awak melayan tetamu saya hari ini. Tetapi, lain kali selepas berikan minuman kepada tetamu, tinggalkan mereka di ruang tamu supaya saya dapat berbual dengan mereka” atau “Terima kasih kerana mengambil berat tentang perbalahan saya dengan mak saya. Itu cuma pertelingkahan biasa. Awak boleh tolong saya dengan segera memaklumkan kepada saya sekiranya mak saya ada menelefon ke rumah”.
Masalah Pembantu Rumah #7 – Dia tidak bercerita tentang dirinya. Bagaimana anda mahu berkawan dengan dia tetapi pada masa yang sama mempunyai jurang professional antara majikan dengan pembantu rumah?
Hal ini memerlukan masa untuk mewujudkan persahabatan yang ikhlas dan saling mempercayai. Mulakan dengan bertanyakan soalan tentang kehidupannya, keluarganya dan negara kelahirannya. Anda mungkin ingin berkongsi beberapa cerita anda juga. Bawa dia keluar bersama keluarga di mana dia tidak perlu bekerja (seperti berjalan di taman), menyambut hari jadinya, membelikan anaknya hadiah untuk menunjukkan keprihatinan anda dan berbual dengannya walaupun perbualan itu tiada kaitan dengan pekerjaannya itu.
Apabila dia melihat anda menghargainya seperti orang lain, dia mungkin akan lebih bersikap terbuka dan lebih menghormati anda.
Jika anda takut untuk berkawan dengannya kerana takut kehilangan kuasa anda, ingatlah bahawa jika adanya sifat hormat, tidak perlu lagi anda menunjukkan kuasa anda sebagai majikan – kerana antara anda berdua sudah ada kesefahaman yang tidak perlu diutarakan lagi.
Masalah Pembantu Rumah #8 – Dia tidak boleh fokus pada pekerjaannya kerana dia ada berita buruk dari rumahnya (seperti bencana alam atau kematian di dalam keluarga) atau ada masalah rumahtangga atau masalah kewangan.
Letakkan diri anda di dalam situasinya itu. Fahami pembantu rumah anda bahawa dia memerlukan masa untuk sembuh atau bersedih atas kejadian yang dialaminya itu. Berikan dia masa dan ruang untuk berbuat demikian. Dia mungkin berasa tidak berupaya, hilang harapan, serba salah, bimbang, kehilangan, tertekan atau keliru. Emosi-emosi ini akan menyebabkan pembantu rumah kehilangan tenaga dari segi fizikal dan mental.
Tawarkan telinga mendengar. Tunjukkan kepadanya bahawa anda benar-benar mengambil berat tentang apa yang dia alami, dan lihat bagaimana anda boleh membantunya- dari segi kewangan atau sebaliknya. Jika dia berterusan berasa terganggu dalam beberapa bulan, cuba daftarkan dia untuk sesi kaunseling profesional.
Masalah Pembantu #9 – Dia tidak bersuara apabila ada masalah, kerana takut dimarahi. Beritahu pembantu anda bahawa dia boleh menghubungi anda walaupun dia melakukan kesilapan – seperti memecahkan sesuatu secara tidak sengaja di dalam rumah, atau jika anak anda atau ibu bapa yang sudah tua terjatuh dan mencederakan diri sendiri semasa dia menjaga mereka.
Berikan pembantu rumah anda kepastian bahawa anda tidak akan menghantarnya pulang atau mengadu kepada agensi, dan terangkan kenapa ianya penting untuk memaklumkan anda tentang hal itu. Apabila dia menceritakan masalahnya kepada anda, perhatikan bagaimana reaksi anda. Adakah anda hilang sabar secara tiba-tiba atau melemparkan tuduhan kepadanya? Adakah anda membuatnya berasa teruk apabila dia memberitahukan kesalahannya itu? Jika anda bertindak sedemikian, jadi adalah normal dia tidak mahu bersuara. Fokuskan bagaimana pembantu rumah anda boleh elakkan melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.
Masalah Pembantu #10 – Dia tidak mengambil inisiatif. Dia menunggu arahan anda, walaupun membabitkan tugas yang mudah.
Pembantu rumah mungkin berasa tidak berkuasa apabila agensi memberitahunya bahawa dia perlu melakukan tugas seperti yang diarahkan, atau majikan sebelum ini tidak suka apabila dia mengambil inisiatif sendiri. Jika anda mahu dia menjadi lebih proaktif, beritahu kepadanya. Anda boleh minta pendapatnya tentang cara melakukan perkara tertentu. Contohnya, anda boleh memberitahunya:” Saya mahu anda mengemaskan bilik stor hari ini. Bolehkah anda fikirkan cara yang terbaik untuk melakukan kerja dengan kemas dan rapi?”
Buatkan dia rasa dia mampu melakukan tugas-tugas itu. Apabila dia berjaya melakukan kerja-kerja itu, berikanlah dia pujian atas usahanya itu.
Masalah Pembantu #11 – Pembantu rumah anda menolak untuk bercuti, dia lebih suka bekerja dari berehat.
Apakah sebab dia kerja lebih masa? Adakah dia mahu menunjukkan bahawa dia mampu? Adakah penting baginya untuk mempunyai duit yang lebih? Adakah dia mahu menghabiskan masanya dengan melakukan kerjanya? Cari motifnya dan tunjukkan keprihatinan anda kepadanya. Beritahu dia bahawa jika dia berterusan begini akan mengakibatkannya jatuh sakit.
Jika dia hendak mengambil cuti tetapi ada banyak perkara perlu lakukan, cuba lihat pada jadual waktunya dan cuba kurangkan kerja atau mengajarnya bagaimana hendak menguruskan masanya dengan lebih baik. Beritahunya aktiviti yang dia boleh lakukan di luar rumah semasa hari cutinya.
Masalah Pembantu Rumah #12 – Dia selalu menggunakan telefon, walaupun sedang menjalankan tugas rumahtangga dan menjaga anak kecil.
Jelaskan peraturan ini dari awal: Dia boleh menggunakan telefon jika ada kecemasan, dan semasa waktu rehat atau hari cutinya, tetapi tidak semasa bekerja. Terangkan perkara yang boleh berlaku jika dia cuba memasak dan bercakap dalam telefon pada masa yang sama, contohnya – dia akan membuat kesilapan semasa memotong daging dan mencederakan dirinya sendiri.
Apabila anda telah meletakkan syarat-syarat itu, pastikan dia mematuhi peraturan itu. Dan jika dia sedang membuat panggilan ketika waktu rehat, jangan kacau dia atau menyuruhnya berhenti membuat panggilan.