Jangkaan sewajarnya – Sebelum anda mengambil pembantu rumah, anda harus berfikir dengan teliti tentang jangkaan anda tehadap pembantu rumah. Apabila anda menemuduga pembantu melalui telefon, kamera web atau secara bersemuka, anda boleh nyatakan jangkaan anda terhadap pekerjaannya dan lihat bagaimana pembantu rumah anda memberikan jawapan. Tulis keperluan anda dan berikan nota itu kepada pembantu rumah sebaik saja dia tiba. Anda juga boleh tulis pada kertas dan tampal pada dinding di mana senang dilihat oleh pembantu rumah sekiranya pembantu rumah lupa sebahagian tugas. Anda juga boleh pertimbangkan untuk menterjemahkan jangkaan anda itu ke dalam bahasa ibunda pembantu rumah untuk mengelakkan halangan bahasa di antara pembantu rumah dengan anda. Apabila anda menuliskan harapan anda dengan jelas, ia juga akan memberi manfaat kepada pembantu rumah anda kerana dia tahu apa yang diharapkan dan memudahkan dan mempercepatkan pembantu rumah menyesuaikan diri dengan pekerjaannya itu.
Kejutan Budaya – Kebanyakan pembantu rumah asing tidak biasa tinggal di bandar kerana biasanya mereka datang dari kawasan luar bandar. Mereka juga mungkin mengalami kesukaran untuk memahami dan berkomunikasi dalam bahasa yang anda gunakan di rumah. Oleh itu, mereka perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di rumah anda. Masalah umum adalah termasuk cara penggunaan ketuhar gelombang mikro dan mesin basuh serta perlu menyesuaikan diri untuk tinggal di bangunan tinggi. Pembantu rumah juga mungkin mempunyai cara yang berbeza dalam penjagaan anak. Walaupun mereka telah dilatih dengan pelbagai jenis tugas sewaktu dalam latihan namun haruslah dinasihatkan bahawa anda masih perlu meluangkan masa untuk melatih pembantu rumah anda dalam beberapa minggu pertama dia berada di sini. Hal ini kerana alat-alat yang digunakan di agensi pembantu rumah mungkin berbeza daripada yang ada di rumah anda. Latihan yang diberikan anda boleh membantu pembantu rumah untuk cepat menyesuaikan diri dengan suasana pekerjaan.
Komunikasi secara terbuka – Pembantu rumah anda mungkin datang dari masyarakat, budaya serta agama yang berbeza. Dia mungkin berasa rindu dan kesunyian. Sebagai majikan, anda boleh membantunya dengan membenarkannya berkomunikasi dengan ahli keluarga dan kawan melalui surat atau menelefon ke rumahnya. Hal ini boleh menghilangkan rasa rindunya terhadap keluarga serta mengurangkan perasaan terasing di negara orang.
Jadual tugas atau Jadual waktu – Adalah baik sekiranya pembantu rumah anda mempunyai jadual bertugas. Anda boleh berikan jadual tugas ini kepadanya setelah dia sampai ke sini. Di dalam jadual itu, anda boleh nyatakan berapa kali anda mahu pembantu rumah anda menyapu lantai, membersihkan dapur dan toilet, membersihkan tingkap dan berapa lama masa yang diperlukan untuk dia bermain dengan anak anda. Nyatakan dengan terperinci supaya pembantu rumah anda dapat mengikut arahan anda dengan mudah.
Peraturan di rumah – Anda juga mungkin mahu memberitahu pembantu tentang peraturan-peraturan di rumah anda. Contohnya, anda mungkin tidak mahu pembantu anda masuk ke dalam bilik tidur anda tanpa izin anda. Anda mungkin mahu terhadkan bilangan panggilan yang dia boleh buat dengan menggunakan telefon rumah anda. Anda mungkin mahu pembantu rumah untuk tidak menggunakan telefon sewaktu bekerja atau anda mahu dia meletakkan telefon bimbitnya dalam mod senyap pada waktu malam. Jadi anda boleh tuliskan hasrat anda ini dan sampaikan catatan tersebut kepadanya.
Keutamaan peribadi dan logik akal – Sesuatu kerja yang sama, tetapi orang yang berbeza akan melakukannya dengan cara, input serta masa yang berbeza. Sebagai contoh, anda menggunakan tiga baldi air untuk mop lantai, tetapi pembantu rumah anda mungkin hanya menggunakan dua baldi. Jangan rasa tersinggung sekiranya pembantu rumah membuat kerja dengan cara yang berbeza jika dibandingkan dengan cara anda. Cuba anda beritahu pembantu rumah anda tentang kehendak anda jika anda berasa kurang selesa dengan cara pembantu rumah menjalankan tugasnya. Tambahan lagi, sesuatu kerja itu mungkin bagi anda adalah biasa tetapi tidak semua orang menganggap itu adalah hal yang biasa, yang boleh difikir secara logik akal. Jangan gunakan kebiasaan untuk menghakimi pembantu rumah anda. Jangan lupa bahawa latar belakang pembantu rumah anda mungkin tidak sama dengan anda.
Pujian yang konsisten dan maklum balas – Cuba berikan maklum balas kepada pembantu anda tentang hasil kerjanya supaya dia tahu adakah kerjanya itu baik atau tidak. Jika ada perkara yang anda mahu dia perbaiki lagi, cuba berikan maklum balas anda kepadanya supaya dia tidak berasa dimarahi. Jika dia melakukan pekerjaannya dengan baik, berikanlah dia pujian untuk hasil kerjanya itu.
Integrasi keluarga – Selagi mana praktikal, cuba masukkan dia ke dalam keluarga anda kerana dia akan tinggal di rumah anda sepanjang waktu bekerja. Cuba dan fahami perbezaan latar belakang pembantu rumah anda. Sentiasa sabar, tolerasi dan fahami pembantu rumah anda supaya anda dapat mengurangkan segala perbalahan dan konflik yang akan menganggu prestasi kerjanya.
Kesihatan umum – Sebagai majikan, anda bertanggungjawab terhadap kesihatan pembantu rumah anda. Hal ini termasuklah makanan yang mencukupi, kemudahan, keperluan asas dan rawatan perubatan. Pembantu rumah sepatutnya dilayan dengan adil dan baik apabila anda memberikan kerja rumah kepadanya. Pekerja yang gembira dan dilayan dengan baik akan kurang memberikan masalah daripada pekerja yang tidak berpuas hati.
Tugas yang berisiko tinggi – Jika anda tinggal di flat atau apartment, anda mahukan pembantu rumah anda mengelap tingkap rumah, adalah dinasihatkan bahawa anda haruslah memantau serta mengajarnya cara untuk melaksanakan keseluruhan tugas tersebut kerana dia mungkin tidak tahu akan bahaya yang menanti semasa membersihkan tingkap itu. Sekiranya pembersihan tingkap diperlukan tetapi tiada sesiapa yang boleh mengawasi, adalah wajar mempertimbangkan untuk menagguhkan tugas itu hingga waktu di mana ada orang untuk memantau supaya keselamatannya terjamin.Jika tingkap di rumah sudah dipasangkan gril, anda boleh membiarkan pembantu rumah untuk membuat pembersihan sendiri tetapi pastikan dia tidak membuka kunci gril itu dan meletakkan dirinya dalam bahaya semasa menjalankan tugas membersihkan tingkap itu.
Gaji – Anda boleh bayar gaji pembantu secara tunai atau kreditkan gajinya ke dalam akaun banknya. Untuk mengelakkan sebarang salah faham, ini harus didokumenkan dengan betul dan jika akaun bank digunakan, anda harus membenarkan dia menyimpan buku akaun tersebut. Jika dengan persetujuan bersama anda ingin menyimpan buku akaun, pembantu rumah haruslah diberikan akses untuk menyemak bayaran gaji yang dikreditkan kepadanya.
Insentif untuk kerja yang baik – Dalam keadaan yang sesuai, hal ini harus dipertimbangkan kerana insentif ini sebagai dorongan yang baik. Anda boleh berikan ganjaran kepada pembantu rumah untuk hasil kerjanya yang baik. Ganjaran boleh dalam bentuk tunai, bonus tahunan, tambahan hari cuti atau apa sahaja yang pembantu rumah suka. Semua orang termasuk kita semua sukakan insentif.
Penjagaan Perubatan – Sebagai majikan, anda bertanggungjawab untuk faedah perubatan perkerja anda. Jika dia memerlukan rawatan perubatan, termasuklah rawatan masuk hospital, anda haruslah menanggung segala perbelanjaan perubatan rawatan.
Penginapan – Jika boleh, berikan bilik yang berasingan kepada pembantu rumah. Sekiranya ini tidak tersedia di rumah anda, anda harus menghormati keperluan pembantu rumah untuk privasi dan memastikan ruang peribadi yang mencukupi untuk tidur disediakan. Beberapa contoh penginapan yang tidak betul termasuk membiarkan pembantu rumah tidur di koridor atau ruang tamu atau berkongsi bilik dengan lelaki dewasa.
Rehat dan Makanan yang mencukupi – Pekerja yang cukup rehat adalah lebih produktif dan mudah untuk menjalankan tugas. Oleh itu, anda perlu pastikan pekerja anda mendapat rehat yang cukup iaitu 7 hingga 8 jam waktu tidur, terutamanya pada waktu malam dan cuti yang cukup, yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak majikan dan pembantu rumah. Makanan yang cukup untuk dia makan akan memastikan dia cergas dan sihat, ini juga dapat memastikan dia mempunyai tenaga yang cukup untuk melakukan semua tugas yang diberikan oleh anda.
Penderaan pembantu rumah – Jika anda tidak suka akan pembantu rumah anda atas pelbagai sebab, jangan sesekali membulinya secara verbal atau fizikal, anda boleh berhubung dengan agensi untuk konsultansi atau tukar pembantu rumah yang baru. Akan tetapi, jika anda membulinya secara verbal atau fizikal, anda akan dikenakan tindakan undang-undang. Hubungan yang baik antara majikan dan pembantu memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak. Ia haruslah dimulakan dengan komunikasi yang baik dan harapan yang sewajarnya, peraturan di rumah dan cara peribadi, diikuti dengan maklum balas yang konsisten dan ganjaran untuk pekerjaan yang dilakukan dengan baik. Jika anda menguruskan pembantu rumah anda dengan baik dan dia sanggup mengikutnya, akhirnya dia mungkin menjadi sebahagian daripada keluarga anda.